t>

Breaking News

Ya CCCC Disenaraihitam Oleh Bank Dunia Atas Dakwaan Salahlaku Tetapi Ia Tak Beri Kesan Terhadap ECRL - Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan, walaupun mengakui bahawa syarikat China Communications Construction Company (CCCC) telah disenarai hitam oleh Bank Dunia, tetapi berhujah bahawa ia tidak memberi kesan kepada Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menjelaskan bahawa ECRL bukan projek jalan atau jambatan dan tidak dibiayai oleh Bank Dunia dan oleh itu, tambahnya, tindakan bank berkenaan itu tidak memberi kesan terhadap penyertaan CCCC dalam projek ECRL.
The New Straits Times semalam melaporkan Abdul Rahman menafikan CCCC telah disenarai hitam oleh Bank Dunia dan hanya anak syarikatnya, China Road dan Bridge Company (CRBC), yang dikenakan tindakan itu.
Hansard Dewan Negara menunjukkan Abdul Rahman menjawab soalan senator dari Selangor Mohd Nor Monutty.
Hari ini, Abdul Rahman mengakui CCCC juga disenaraihitamkan ekoran dasar baru Bank Dunia pada 2011 menetapkan bahawa organisasi pengganti tertakluk kepada sekatan yang sama yang dikenakan kepada syarikat asal, dan tidak layak menyertai projek jalan dan jambatan yang dibiayai oleh bank itu.
Beliau berkata CRBC disenarai hitamkan oleh Bank Dunia berikutan dakwaan salah laku dalam satu projek di Filipina dibiayai oleh bank berkenaan.
Oleh itu, Bank Dunia telah menyekat CRBC daripada terlibat dalam sebarang projek jalan raya atau jambatan yang dibiayai oleh Bank Dunia.
CRBC kemudian bergabung dengan beberapa syarikat lain untuk membentuk CCCC itu.
Menurut Abdul Rahman lagi, ECRL bukan projei jalan atau projek jambatan dan tidak dibiayai oleh Bank Dunia.
Oleh itu, tegasnya, sekatan Bank Dunia itu tidak memberi kesan kepada penyertaan CCCC dalam projek ECRL itu.
Tambahan pula, kata menteri itu, syarikat berkenaan, telah menunjukkan bahawa ia boleh melakukan kerja-kerja dengan baik.
"Kumpulan syarikat CCCC mempunyai rekod prestasi yang berjaya di Malaysia termasuk Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (jambatan kedua Pulau Pinang) yang siap pada 2014," katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa CCCC juga telah dianugerahkan projek penambakan bernilai RM2 bilion oleh sebuah syarikat usaha sama kerajaan Pulau Pinang.
"Sekatan ini akan berakhir dalam masa sebulan pada 12 Januari 2017," katanya, dengan harapan bahawa ini akan menjelaskan isu berkenaan bagi mengelak sebarang maklumat yang mengelirukan dari pihak tertentu. - Malaysiakini.